2013-04-02

HAL-HAL YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH MUSLIMAH YANG SEDANG HAIDH

[1] Dzikrullah (Berzikir Kepada Allah).

 Wanita yang sedang haidh boleh berzikir, bertasbih (membaca Subhanalloh), bertahmid (membaca alhamdulillah), membaca bismillah ketika makan dan sebagainya. Boleh juga membaca buku-buku hadith, fiqh (buku agama), berdoa, mengaminkan doa dan mendengar bacaan al-Qur’an. Jelas dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim serta kitab-kitab hadith yang lain bahawa Rasulullah s.a.w bersandar di riba A’isyah r.anha sambil membaca al-Qur’an padahal A’isyah di saat itu sedang haidh.

Di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Umm ‘Athiyah r.anha berkata, Rasulullah s.a.w pernah bersabda menyuruh keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada di dalam rumah kepada solat dua hari raya (Solat Hari Raya ‘Aidilfitri dan Hari Raya ‘Aidil ’Adha) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita daripada mushalla (tempat lapang solat Hari Raya). Sila lihat Shahih al-Bukhari, no. 324.

[2] Beristighfar (Memohon Ampun Kepada Allah).

 Rasulullah s.a.w secara khusus memerintahkan agar kaum wanita memperbanyakkan amalan beristighfar, baginda bersabda:

يا معشر النساء، تصدقن وأكثرن الإستغفار، فإني رأيتكن أكثر أهل النار!

Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar (memohon ampun kepada Allah) kerana aku melihat kebanyakan penghuni Neraka adalah kamu.

 Salah seorang wanita bertubuh besar bertanya: Mengapa kebanyakan dari kami sebagai penghuni Neraka? Baginda s.a.w menjawab:

تكثرن اللعن وتكفرن العشير، ما رأيت من ناقصات عقل ودين أغلب لذي لب منكن.

Kerana kamu banyak melaknat dan tidak bersyukur kepada suami (kamu). Aku tidak melihat orang-orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih dapat menaklukkan seorang lelaki yang berakal (selain) daripada kalian. – H/R Muslim 1/87.

Ini ditambah lagi dengan kurangnya ibadah para muslimah ketika mereka berada dalam keadaan haidh. Perhatikan hadith berikut:

أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم؟ قلن: بلى: قال: فذلك من نقصادينها.

Bukankah apabila wanita sedang haidh (mereka) tidak boleh (mendirikan) solat dan berpuasa?. “Benar” jawab mereka (para wanita). Rasulullah bersabda: Itulah kekurangan agamanya.” – H/R al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 1951 dan Muslim dalam Shahih Muslim, no. 80.

Oleh itu sewajarnyalah 'kekurangan' ini ditampung dengan memperbanyakkan amalan membaca istighfar dan disamping lain-lain ibadah yang disyariatkan oleh agama.

[3] Membaca Al-Qur’an.

 Masa-masa haidh adalah masa yang sangat kritis, yang mana seorang wanita mudah mendapat serangan jin-jin yang jahat dan tukang sihir. Oleh kerana itu hendaklah mereka selalu membaca al-Qur’an khususnya surah al-Baqarah. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Umamah al-Bahili, dia berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

اقرءوا البقرة فإن أخذها بركة وتركها حسرة و لا يستطيعها البطلة.

Bacalah al-Baqarah kerana membacanya akan mendatangkan berkah dan meninggalkannya bererti kerugian. Dan para tukang sihir tidak akan sanggup menjangkau (pembacanya). – H/R Ahmad 5/249.

Mungkin timbul persoalan: Bukankah wanita haidh tidak diperbolehkan membaca al-Qur’an? Terdapat sebahagian ulamak yang berpencapat bahawa wanita haidh boleh membaca al-Qur’an. Ini adalah pendapat Imam Malik dan sebuah riwayat dari Ahmad, pendapat inilah yang dipilih oleh Syaikh al-Islam dan Imam al-Syaukani, dengan alasannya seperti berikut:

Pertama:

Pada asalnya setiap orang boleh membaca al-Qur’an hingga ada dalil yang melarangnya. Walaubagaimanapun sehingga ke saat ini belum ada dalil yang melarang wanita haidh membaca al-Qur’an. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (728H) menulis di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa jld. 26, ms. 191:

“Sejak asal tidak ada larangan daripada al-Sunnah (bagi wanita yang sedang haidh). Hadith:  “Wanita haidh tidak boleh membaca sesuatu daripada al-Qur’an” adalah hadith yang dhaif yang disepakati oleh para ahli hadith. Lebih dari itu, diketahui wanita-wanita di zaman Nabi s.a.w sedia mengalami haidh.

Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca al-Qur’an sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya ia diterangkan oleh Nabi kepada umatnya dan dipelajari oleh para isteri baginda. Hal ini kemudiannya akan tersebur kepada manusia. Namun tidak ada seorang jua yang meriwayatkan pengharaman seumpama daripada Nabi. Maka tidak boleh menghukum ia sebagai haram sedangkan baginda Nabi sendiri tidak pernah mengharamkannya. Justeru apabila Nabi tidak menegah daripada demikian padahal ramai wanita yang haidh di zamannya, bererti diketahui bahawa tidaklah haram bagi wanita haidh membaca al-Qur’an.”

Kedua:

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya membaca al-Qur’an, bahkan Dia memuji orang-orang yang membacanya serta menjanjikan pahala yang besar kepada mereka. Tidak seorang pun yang dilarang membacanya selain orang yang memang telah dilarang oleh dalil. Sehingga ke saat ini belum ada dalil yang melarang wanita haidh membaca al-Qur’an.

Ketiga:

Terhadap hadith yang melarang wanita haidh daripada membaca al-Qur’an, ia adalah hadith yang dhaif. Berikut dikemukakan hadith yang dimaksudkan dan komentar Imam al-Nawawi yang ke atasnya:

لا يقرأ القرآن الجنب ولا الحائض شيئا من القرآن.

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haidh.

Hadith ini dikeluarkan oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semua dhaif. Syaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling kuat menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghalil fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil, hadis no. 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij al-Isyraf 1/83-84. Walau bagaimanapun pendapat yang terkuat (rajih) adalah ia adalah dhaif.

Berkata Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab jld. 2, ms. 123-125:

“Adapun hadith Ibn Umar: Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haidh, maka ia diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadith yang dhaif, didhaifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedhaifan yang terdapat padanya adalah jelas.”

Keempat:

Sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haidh membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan (dianalogikan/disamakan) kepada keadaan junub (berhadas besar disebabkan persetubuhan).  Namun pandangan ini dianggap tidak tepat kerana:

  • Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haidh, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah. Apabila zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haidh daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum baru.
  • Haidh dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan dimana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada di dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib dan tayammum. Berbeza halnya dengan haidh, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Kelima:

Melarang wanita yang haidh membaca al-Qur’an dapat menghalangi mereka dari mendapat pahala yang sangat besar, bahkan dapat membuatnya lupa terhadap ayat al-Qur’an yang telah dihafalnya atau ia perlu membaca al-Qur’an pada saat belajar atau mengajar. Perhatikan firman Allah berikut:

الم. ذلك الكتاب لاريب فيه يدى المتقين.

Alif-Lam-Mim. Kitab al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. - Surah al-Baqarah, ayat 1-2.

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haidh. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haidh mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haidh daripada memegang dan membaca al-Qur’an  seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ia haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun ia masyhur.

Berkata Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla jld. 1, ms. 77-78:

“Membaca al-Qur’an, sujud ketika membaca al-Qur’an, menyentuh mushaf dan dzikrulah adalah perbuatan baik dan dianjurkan untuk dilakukan dan dibalas dengan pahala bagi yang melakukannya. Barangsiapa yang mendakwa bahawasanya hal itu dilarang pada beberapa kondisi maka dia harus mendatangkan dalil.”

[5] Masuk Ke Dalam Masjid.

Dalam masalah ini terdapat perbezaan pandangan  yang amat luas di kalangan para ulamak. Walau bagaimanapun belum ditemui dalil yang sahih lagi jelas yang melarang wanita haidh masuk ke dalam masjid. Sedangkan hukum asal adalah boleh hingga ditemukan larangan.  Sebahagian ulamak yang melarang wanita haidh daripada memasuki masjid berdalih kepada hadith berikut:

إني لا أحل المسجد لحائض و لا جنب.

Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid untuk orang haidh dan orang junub.

Hadith ini dikeluarkan oleh Abu Daud, no. 232, al-Baihaqi 2/442 dan Ibn Khuzaimah 2/284. Walau bagaimanapun hadith ini adalah dhaif (lemah). Sila lihat al-Irwa’, no. 193.  Adapun dalil-dalil sebahagian ulamak yang membolehkan wanita haidh memasuki masjid adalah seperti berikut:

Pertama:

Telah diriwayatkan secara sahih bahawa orang-orang musyrik pernah memasuki masjid. Bahkan Nabi pernah mengurung mereka di dalam masjid. Allah berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 28:

يأيها الذين ءامنو إنما المشركون نجس فلا يقربوا المسد الحرام بعد عامهم هذا.

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis maka janganlah mereka mendekati Masjid al-Haram sesudah tahun ini.

Adapun seorang Muslim adalah suci dalam segala keadaan, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

إن المسلم لا ينجس.

Sesungguhnya seorang muslim tidak najis. - H/R al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari.

Lalu bagaimana mungkin seorang Muslim dilarang masuk masjid sementara orang kafir dibolehkan?!

Kedua:

Hadith A’isyah r.anha mengenai seorang budak wanita hitam yang berasal dari salah satu suku Arab yang mendatangi Rasulullah s.a.w setelah dibebaskan dan beliau memasuki Islam. Ia memiliki sebuah khemah di dalam masjid dan tinggal di dalamnya buat beberapa ketika yang agak panjang.

Sebagaimana wanita biasa, wanita ini juga mengalami haidh, namun Rasulullah s.a.w tidak melarangnya untuk tinggal di dalam masjid dan tidak pula menyingkirnya daripada masjid ketika dia didatangi haidh. Sila lihat Shahih al-Bukhari, no. 493 berkenaan kisah hamba wanita tersebut.

Ketiga:

Hadith dari Abu Hurairah berkenaan kisah seorang wanita yang biasa membersihkan masjid dan kemudian dia meninggal dunia lalu datang Rasulullah untuk bertanya mengenainya. Wanita ini, sebagaimana lazimnya wanita lain, juga tidak terlepas daripada mengalami haidh. Walaupun demikian Rasulullah s.a.w tidak pernah melarangnya daripada mendekati masjid pada saat dia didatangi haidh. Sila lihat Shahih al-Bukhari, no. 458 dan Shahih Muslim, no. 956 berkenaan kisah wanita ini.

Keempat:

Bahawa A’isyah haidh sewaktu melaksanakan haji, Rasulullah membolehkannya melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang berhaji dan tidak melarangnya kecuali mengerjakan tawaf di Baitullah. Hal ini menunjukkan bahawasanya ia boleh masuk masjid seperti yang dilakukan jamaah haji lainnya. Sila lihat Shahih al-Bukhari, no. 1650.

Hadith dari A’isyah, ia mengatakan: “Rasulullah berkata kepadaku: Ambilkan untukku selendang di dalam masjid. Aku berkata: Aku sedang haidh. Rasulullah bersabda:

إن حيضتك ليست في يدك

Sesungguhnya haidhmu bukanlah pada tanganmu. - H/R Muslim, no. 298, Abu Daud, no. 261, at-Tirmidzi, no. 134 dan al-Nasa’i 2/192.

Hal ini mengisyaratkan bahawasanya selendang itu berada di dalam masjid. Namun Nabi s.a.w tetap memerintahkan A’isyah yang sedang mengalami haidh itu untuk mengambil selendang itu.

[6] Melansungkan Akad Nikah.

Syaikh al-‘Uthsaimin mengatakan, sebagaimana yang tercantum di dalam kitab Ithaaful Milaah fi Maa Yahtaajuhu Aqidun Nikah oleh Ahmad bin Abdullah as-Sulami:

“Jika ternyata akad nikah terhadap seorang wanita dilakukan pada waktu dia haidh, maka akad tesebut sah dan benar. Menurutku janganlah dia masuk menemuinya sehingga suci kerana jika dia menemuinya sebelum suci, maka dikhuatirkan dia jatuh ke dalam larangan menyetubuhi isteri ketika haidh. Kerana barangkali dia tidak dapat menahan nafsunya, apalagi jika dia seorang pemuda. (Oleh itu), tunggulah sampai ia suci sehingga ia mendatangi isterinya dalam keadaan ia dapat menyetubuhinya pada kemaluannya. Wallahua’lam.”

Syaikh al-'Uthaimin juga menulis:

"Akad nikah atas seorang wanita pada masa haidh adalah akad yang sah dan benar, hal itu tidaklah mengapa kerana hukum asal dalam masalah akad adalah halal dan sah kecuali ada dalil  yang mengharamkannya. Sementara tidak ada dalil yang mengharamkan akad nikah pada masa haidh. Jika demikian adanya maka akad tersebut dipandang sah dan tidak bermasalah. Di sini harus ketahui perbezaan antara akad nikah dengan talak."

[7] Bersama Suami Dalam Satu Selimut Tanpa Melakukan Persetubuhan.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu Salamah r.anha dimana beliau berkata: “Ketika aku berbaring bersama Nabi s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haidh. Lalu aku keluar dan memakai pakaian haidhku. Rasulullah mengatakan: “Apakah  engkau haidh?” Aku berkata: “Ya”. Baginda memanggilku lalu aku berbaring bersama baginda di dalam satu selimut.” [H/R Shahih al-Bukhari, no. 298 dan Muslim, no. 296]

Ketika mengomentari hadith ini, Imam al-Nawawi menulis di dalam kitabnya, Syarh Muslim jld. 1, ms. 954:

“Di dalam hadith ini disebutkan bolehnya wanita haidh tidur dan berbaring bersama suamninya dalam satu selimut..”

Kemudian dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w besabda:

إصنعوا كل شيء إلا النكاح.

Lakukanlah apa saja (pada isterimu) selain nikah  (yakni bersetubuh). - H/R Ahmad 3/132.

Hadith di atas menjelaskan bahawa menjauhkan diri dari wanita haidh yang dimaksudkan dalam ayat adalah tidak berhubungan badan (bersetubuh) dengannya. Adapun aktiviti lainnya boleh dilakukan bersama wanita yang sedang haidh, seperti makan, minum atay tidur bersama isteri yang sedang haidh. Riwayat di atas ini juga menolak tanggapan yang salah di kalangan masyarakat bahawa wanita haidh itu najis.

Sungguh keliru sikap sebahagian orang yang menjauhi isterinya yang sedang haidh, atau sikap sebahagian wanita yang menjauhi temannya yang sedang haidh. Wanita haidh bukanlah benda najis yang harus dijauhi. Sesungguhnya yang dihukumi najis itu hanyalah kerana darah haidhnya sahaja, bukan orangnya. A’isyah r.anha bercerita:

كنت أتعرق العرق وأنا حائض فأعطيه النبي صلى الله عليه وسلم فيضع فمه في الموضع الذي وضعت فمي فيه وأشرب الشراب فأناوله فيضع فمه في الموضع الذي كنت أشرب منه.

Aku pernah menggigit daging sedang aku dalam keadaan haidh. Kemudian aku berikan daging itu kepada Nabi s.a.w (maka) baginda pun menggigit pada bahagian yang telah aku gigit. Aku juga pernah minum saat sedang haidh, lalu aku berikan minuman itu kepada baginda. Baginda pun meletakkan bibirnya pada sisi gelas yang aku minum darinya. - H/R Muslim dalam Shahih Muslim 1/245.

Wallahua’lam.

Rujukan dan kajian:

[1] Risalah Fi ad-Dima’a ath-Thabi’iyyah Li an-Nisa’ karya Syaikh Muhammad Shalih al-‘Uthaimin; dalam edisi terjemahan oleh saudara Azzahari bin Murad di atas judul Petunjuk Al-Qur’an Dan Al-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah Dan Nifas (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

[2] Wanita Haidh Tak Luput Pahala karya Ustaz Abu Ihsan Al-Atsari Al-Maidani (Pustaka At-Tibyan, Solo, 2009).

[3] Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan karya Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2008).

Dicatat pada: 28/10/2010 (11:34 am)
Dapatkan juga lain-lain nota saya. Klik "notes" saya, sila share dan sebarkan kepada saudara seagama yang lain. Syukran.

No comments:

Post a Comment